Thursday, January 12, 2012

bagaimana haid terjadi? #pandangan sains

pernahkan anda terfikir, bagaimana darah haid bagi wanita terjadi?adakah wanita akan kekurangan darah apabila mengalami haid?adakah jumlah haid di dalam badan seseorang wanita itu berkurangan bila mengalami haid?

Anatomi fisikal rahim
uterus21Gambarajah menunjukkan keratan rentas dari bahagian tepi anatomi ari-ari perempuan. Uterus adalah bahasa medik untuk rahim wanita. Kedudukannya yang normal adalah sujud ke hadapan seperti di dalam gambarajah ini. Jika ia condong ke belakang ia dipanggil retroverted uterus atau rahim terbalik. Ia boleh menyumbang kepada kes ketidaksuburan dan penyakit endometriosis. Kedudukan rahim berada di atas pundi-pundi kencing serta kebesarannya sebesar buah lai yang sekecil tangan anak-anak 6 tahun.





uterus22Gambarajah menunjukkan keratan rentas organ peranakan wanita. Organ peranakan wanita terdiri daripada dua fimbria, dua ovari, dua fallopian tiub, rahim , faraj (vagina), dan pintu rahim (cervix). Di dalam gambar sebelah rahim merupakan bahagian tengah gambar itu yang berbentuk lapisan kon. Bahagian dalam dinding rahim dikenali sebagai endometrium. Bahagian ini amat penting untuk kehamilan kerana dinding rahim yang tidak sihat menyebabkan ketidaksuburan dan juga keguguran.
Perjalanan sebiji telur
Telur akan terbentuk di dalam ovari. Ia menetas dan ditangkap oleh tangan rahim iaitu fimbria. Ia melalui perjalanan ke rahim melalui fallopian tiub. Setibanya di rahim jika tiada persenyawaan berlaku ia berkecai dan luruh sebagai darah haid dan keluar melalui cervix, yakni pintu rahim. Darah itu akan keluar melalui faraj sebagai darah haid.

Definisi haid
Haid berasal dari perkataan arab ‘haizh’ yang mempunyai maksud yang luas. Di antaranya kotor, pencemaran, kesakitan dan keuzuran. Di dalam bahasa inggeris ia dikenali sebagai ‘menses’ yang berasal dari perkataan yunani ‘mensis’ untuk bulan. Untuk orang melayu kami lebih senang mengatakan bahwa kita sedang datang bulan atau datang kotor. Menurut orang tua-tua melayu zaman dahulu haid diriwayatkan sebagai tangisan dalam rahim. Darah haid merupakan titisan air mata rahim wanita yang sedang menangis. Sungguh indah perumpamaan orang-orang melayu zaman dahulu.
Bagaimana Haid Berlaku?
Haid ialah luruhan tisu dinding rahim melalui faraj sebagai darah haid. Ia berlaku melalui tindak-balas kompleks hormon-hormon dalam badan melalui sistem endokrin di otak dan di kilang ovari. Hasil tindak balas hormon ini ia menyebabkan penetasan telur berlaku pada hari subur seorang wanita dan juga menyebabkan dinding rahim menebal sesuai untuk menerima penanaman sebutir janin ke dalamnya. Jika kehamilan tidak berlaku ia luruh sebagai darah haid. Seterusnya kitaran ini akan berulang semula.
Fisiologi Haid
Terdapat tiga perkara yang berlaku sewaktu anda akan haid:
1.Pengeluaran hormon haid
2.Penetasan telur
3.Penebalan dinding rahim dan peluruhannya sebagai darah haid
menstrualcycle-web
I. Pengeluaran hormon haid
Kitaran haid mengambil masa 28 hari. Sewaktu tempoh ini berlakunya pelbagai aktiviti serentak yang mengekalkan ciri-ciri dan fungsi-fungsi kesihatan wanita di antara yang terpenting kesuburan. Haid dikawal oleh otak dan juga sistem endokrin manusia. Sistem endokrin adalah seperti pengutus dari organ ke otak serta balik. Ia memberitahu organ dalam badan apa yang perlu ia lakukan.
Sistem informasi haid terbahagi kepada bahagian-bahagian berikut:
1.Hypothalamus (bahagian belakang otak) 2.Kilang pituitari 3.Kilang ovari Mula-mula, segala-galanya bertolak dari bahagian belakang otak khususnya di bahagian Hypothalamus. Hypothalamus seperti komputer dan memproses segala data-data yang dihantar ke otak dan menguruskan keseluruhan sistem badan berdasarkan stimulus-stimulus yang diberi. Hypothalamus adalah bahagian bawah otak yang menyambung kepada sistem endokrin iaitu pituitari di dalam otak. Hormon yang penting dari Hypothalamus yang berguna untuk merangsang haid dipanggilGonadotrophine releasing hormon (GnRH)Atas pengaruh faktor-faktor seperti emosi dan persekitaran seperti pemakanan, ataupun stimulasi hormon endokrin yang lain di dalam badan, hormon GnRH akan bertindakbalas. Pada awal pusingan haid ia akan mengutuskan signal bahawa sudah sampai masanya untuk bersedia untuk pusingan haid seterusnya. Ia menghantar mesej ke kilang Pituitari.
Di bahagian otak sistem Pitituitari mengeluarkan hormon Lutienizing Hormone (LH) dan Follicle stimulating hormone(FSH). Ia terletak di otak di bahagian tengah bersambungan dengan bahagian hypothalamus dan sebesar sebiji kacang pea. Sepanjang 28 hari kedua-dua hormon ini akan berinteraksi dengan kilang ovari pula yang akan mengeluarkan hormon-hormon estrogen dan progesteron iaitu hormon yang mengekalkan ciri-ciri serta sifat kewanitaan seperti rupa paras, kecantikan, kelembutan kulit dan lain-lain .
Perkembangan fasa-fasa endokrin (hormon-hormon putaran haid)
1. Fasa pembentukan folikular (Follicullar phase)
2. Fasa penetasan (Ovulation)
3. Fasa Luteal (Luteal phase)
1. Fasa pembentukan folikular (Follicullar phase)
Pada hari pertama haid hormon GnRH dirembes oleh Hypothalamus serta merangsang hormon FSH untuk keluar. Apabila hormon FSH sampai ke tahap tertentu ia merangsang beberapa biji telur di kilang ovari. Pada satu tahap lain pula satu telur akan menjadi dominan dan membesar sebagai telur utama dan yang yang lain akan mengecut dan mati yakni mengalami atresia.

2. Fasa penetasan (Ovulation)
Pada hari subur yakni pada pertengahan bulan haid hormon luteinizing hormone atau LH akan memuncak dengan tinggi dan menyebabkan karung folikel yang memegang telur yang dominan itu yang masak menetaskan telur itu keluar dan ia akan ditangkap oleh fimbria iaitu tangan pada rahim.

3. Fasa Luteal (Luteal phase)
Karung telur yang tertinggal selepas telur menetas dipanggil corpus luteum. Ia mengeluarkan progestrone yang sangat kritikal untuk pembentukan dinding rahim sesuai untuk keadaan yang subur untuk kehamilan. Paras hormon progesteron dan estrogen yang tinggi menyebabkan hormon LH dan FSH akan ditekan daripada terus naik. Jika tiada kehamilan berlaku, bermakna paras hormon progestron dan estrogen dalam darah menurun dan corpus luteum itu mengecut dan hilang. Selepas 11-16 hari akibat paras hormon progesteron dan estrogen yang rendah hormon FSH dan LH akan naik semula untuk pusingan haid seterusnya.
II. Penetasan telur
Fasa Folikular
Sewaktu perkembangan hormon GnRH , LH serta FSH berlaku satu proses kritikal yang lain sedang berlaku iaitu telur sedang menyediakan diri untuk menetas. Telur adalah merupakan setengah dari kromosom anda dan tanpanya pembentukan janin tak akan berlaku jika ia gagal menetas. Sewaktu embryogenesis atau penetasan telur, pada permulaan haid Hormon FSH (hormon yang stimulasikan karung telur) akan keluar. Beberapa telur akan terpilih untuk membesar dan satu akan menjadi dominan. Telur ini akan mengeluarkan hormon estradiol iaitu sejenis hormon estrogen dan atas pengaruh hormon ini ia akan makin membesar.
Fasa Penetasan
Bila tiba hari subur yakni sewaktu hormon LH memuncak pada hari ke -14 karung telur itu akan pecah dan menetaskan telur.
Fasa Luteal
Sel-sel karung telur yang tertinggal akan membentuk menjadi corpus luteum. Karung corpus lutuem ini seterusnya akan merembeskan hormon progestron,corpus lutuem yang merangsang dinding rahim untuk menebal untuk kehamilan yang boleh berlaku. Jika tiada janin terjadi, ini mengecut melalui proses atresia kerana paras estradiol dan progesteron makin berkurangandan meresap serta hilang dalam darah.
III. Penebalan dinding rahim dan peluruhannya sebagai darah haid
Darah haid terdiri daripada darah segar dan yang beku serta tisu-tisu dinding rahim. Haid berlaku untuk membuang sel-sel dan tisu dari dinding rahim supaya setiap bulan bahagian dalam rahim wanita subur untuk satu kehamilan. Jika ia tidak berlaku sel-sel dinding rahim pasti luruh kecuali ada penyakit atau gangguan hormon. Dinding rahim dikenali sebagai lapisan endometrium.

Fasa Proliferatif (Proliferative phase)
Sewaktu fasa pertama yang juga dikenali fasa folikel ia bermula selepas haid habis sehingga tarikh telur menetas lapisan endometrium mengalami stimulasi oleh rangsangan estradiol yang dirembes oleh telur yang sedang matang. Tisu-tisu dan kelenjar-kelenjar endometrium makin menebal.

Fasa Sekreteri (Secretory phase)
Fasa ini juga dikenali fasa luteal. Ia bermula selepas telur menetas sehinggalah haid seterusnya. Pada peringkat ini karung telur yang merembeskan progestrone mengekalkan tahap penebalan endometrium serta kelenjar akan merembeskan mucus dan glycogen. Jika tiada kehamilan berlaku corpus luteum akan mati dan hilang serta paras estradiol dan progesteron pun turun.

Fasa Haid
Akhirnya dinding rahim luruh kerana tiada progesteron untuk mengekalkan kesuburannya. Dinding rahim terdiri yang daripada darah dari arteri serta urat , tisu-tisu kelenjar dan tisu endometirum, sel pembuluh darah merah, leukocytes akan keluar melalui cervix (pintu rahim) sebagai darah haid.

No comments:

Post a Comment